Thursday, April 28, 2011

Laporan Pemerhatian: Realiti Pembelajaran Murid Pemulihan Khas

Oleh: Yuliamin Sahirursah Yusop

Sebagai guru pemulihan khas (gpk), dalam rpt dan skt kita siap merencanakan matlamat & hasrat tahunan. Ini tentulah lebih fokus kepada kehendak kita terhadap pemulihan murid. Ringkasnya, sebelum hujung tahun 2011 murid pemulihan khas tahun 3 mesti 0% @ pemulihan khas sifar.

Dalam mencapai kejayaan, maka akan timbul pelbagai perkara yang sedia kita maklum & tidak maklum. Apapun, usaha gpk ke arah pencapaian tersebut, paduan visi & misi hendaklah realistik. Semua usaha yang kita lakukan hendaklah berpijak di bumi yang nyata berdasarkan keperluan murid & kepekaan kita terhadap psiko-fizik murid itu sendiri.

Saban tahun pasti kita akan bertemu dengan murid yang lembam @ lembab. Dalam pada itu, pasti kita akan menghadapi 1 sindrom @ virus yang saya namakan ‘status dampak pedalaman’ @ SDP. Virus SDP ini menjelaskan kepada kita bahawa secara persekitaran murid dipengaruhi oleh suasana keluarga (K), tempat tinggal (T) dan pendedahan sedia ada (P)-(selepas ini diringkaskan KTP) menyebabkan wujud peringkat istimewa ‘status pemulihan khas’ bagi segelintir murid.

Murid ini, dalam hati gpk meletakkan murid-murid ini secara pemerhatian kasar & ujian ringkas pengenalpastian masalah melalui ujian diagnostik sebagai murid berkeperluan khas, kadang kala sebagai murid tidak berharapan. Bagi sesetengah pihak, kesukaran mengajar murid ini menyebabkan mereka diklasifikasi bermasalah genetik. Bahkan, ciri-ciri murid ini menimbulkan keraguan munasabah pendidikan khas @ sblknya.

Memahami isu ini, perlu diperjelas mengenai tugas gpk adalah sebagai pemulih murid untuk 3M (menulis, membaca, mengira). Bukan hasrat yang jitu untuk memandaikan murid sebagaimana kelas perdana. Terkecuali jika gpk melakukan susulan. Sudah pasti peringkat memandaikan itu mula (“mula”;) diwujudkan.

Berbalik kepada virus SDP, hujahannya mudah iaitu kenapa murid lain boleh 3m, murid yang 1 ini tidak? Berbekalkan hujah ini saya wujudkan konsep virus SDP untuk difahami:

1. Semua murid adalah sama. Bagaimanapun, murid yang 1 ini dipengaruhi oleh KTP bagi dirinya. Bukan beliau tidak boleh, tetapi faktor positif KTP mungkin terganggu dalam proses pembesaran beliau. ‘Malas’ merupakan salah 1 kesan yang terlahir. Kenapa mesti malas? Kerana itulah hasil virus SDP yang dicernanya.

2. KTP adalah sekolah pertama manusiawi. Bukan sekolah yang dinamakan SK/SJK/PRASEKOLAH itu sebagai sekolah pertama. Nilai sekolah sebagai sekolah yang memberi pelajaran kerana ia adalah formaliti, ada bangunan, sistem dan pengiktirafan. Sebaliknya, asas pelajaran itu bermula dari keluarganya. Maka, murid pemulihan bukan bermasalah apa-apa, masalahnya bagaimana mereka dibentuk @ dilentur oleh sekolah pertama mereka asalnya. Oleh itu, membentuk usaha positif dalam KTP banyak membantu 3m murid.

3. Kemiskinan, kepayahan, kesusahan & kehidupan KTP, adalah info negatif yang selalu dikhabarkan kepada kita. Gpk harus memahami & mengakui perkara tersebut. Terima sebagai fakta yang benar. Bagaimanapun,kejayaan merawat virus SDP bergantung kepada perbandingan. Gpk perlu membuat perbandingan sejarah silam sendiri (lebih signifikan kerana gpk yang mengajar & menjadi idola) dengan fakta tersebut.

Contoh sejarah silam saya: (dalam dialek kampungan)

Keluarga saya, tak tau miskin ka apa. Boleh layari cerita ni laa.. Bapa saya petani & buruh kasar. Ibu suri rumah. Kami hidup pindah randah (takda tanah tempat membuat rumah). Sehingga ari ni & terbaru nak pindah rumah yg ke-16 (31 tahun, 16 rumah)..

Kami ke sekolah dengan harapan. Di sekolah pada zaman 1986-1992, kami takda RMT, takda KWAPM, takda zakat. Ada juga bantuan Yayasan Sabah susu peket & pakaian seragam, kasut sekolah (sekadar ada, kalau tak muat sudah). Ada juga belanja 20sen (yang selalu dikumpul buat beli buku). Kalau guru minta bayar itu ini, berfikir 2,3 X.

Selalu juga kami minum air tangki besi yang di dalamnya dulu kami tak tau ada karat @ cicak, lipas mati. Kalau ada bata air, selamat la.

Kami juga ke kebun, tanam padi, tanam sayur, potong getah, pancing ikan, rambat ikan, tahan bubu (lukah) di paya (boleh ambil sayur silad yang pahit), jual sayur, jual kayu api hoohohhoohoo..

Ada 1 zaman yang saya tak lupa hingga akhir hayat & muasal saya, 1 zaman yang moden kami 1 keluarga makan ubi kayu saja. Gula garam pun takda. Kesian bapa, walaupun rezki kurang beliau tak putus asa. Cuma rezki belum ada..

Berpelita juga malam hari. Adajuga tv kami, ehm, guna bateri kereta (1x cas $2, dulu bukan RM, kalau ada $nya)..

Ke sekolah berjalan kaki, hujan basah, panas berpeluh. Selalu juga kasut gigi buaya, pernah juga seluar berbicara (tak perasan orang ketawa), seluar baju lama, beg kain yang koyak tampal pakai 3 tahun..

Takda juga kami tadika. Paling penting, saya murid pemulihan (dulu-dulu kena separate itu, tak betul bacaan kena tarik telinga). Maklumlah takda tadika. Untung tak lama. Darjah 2 pandailah, lancar lagi daripada yang tahun 1 pandai tu (temberang sikit).

Jam 7.00 pagi masuk sekolah, 12.30 balik laa..Oppss, jam 2.00 petang sekolah agama, balik jam 4.30 petang (tapi sekolah agama tak lama, sampai darjah 2 suku. Nak kena bayar kalau mo sambung). Ada lagi, malam jam 6.00 @ lepas maghrib mengaji pula.

Di mana pula pi kebun kununnya? lepas sekolah agama (berenti sekolah agama, pi kebun la ari-ari). Cukup di situ, akhirnya UPSR 1A,1B,1C,1D.


Kenapa penting perbandingan? Tidak ada yang lebih mustajab selain daripada pengalaman sendiri. Oleh itu, tidak boleh lupa diri. Yang sebelum ini sejarah hidupnya, batang padi pun tak kenal (kisah benar dulu-dulu batch IPT, ada ka dia pi cerita pokok padi besar pokok getah hohohohoho, gelak-gelak), cubalah lengkapi diri dengan menjadi sebahagian kisah orang kampung tempat mengajar (terkahwin itu lain hal)..

4. Virus SDP adalah berkenaan perbandingan positif & negatif. Kekurangan yang menyebabkan kerencatan perjalanan ilmu, kelebihan yang menyebarkan potensi murid. KTP mana yang lebih meruncing & menular? Apabila kita membandingkan laluan sejarah hidup kita, yang sebenarnya sama dengan murid-murid kita, ia sebenarnya adalah punca kekuatan. Bagaimana empati secara berkadar dan berhad melingkungi darjah usaha kita terhadap murid-murid. Yakni, menyelami keadaan murid secara telus tetapi tidak membuta tuli.

5. Kesilapan empati yang tidak realistik menegaskan bahawa kita mengasihani murid kita sedangkan sejarah silam kita dalam pencapaian kini adalah penuh dengan ranjau dan duri. Membenarkan murid-murid dalam empati kita dengan kepercayaan ‘jangan mereka sama seperti saya dahulu’ sebenarnya menjadikan gpk bukan tonggak idola yang boleh dipercayai. Bahkan, ia adalah salah satu nadir yang menjadi asas kepada kemusnahan kepercayaan dan keyakinan ‘usaha tangga kejayaan’.

6. Perawatan: Adalah menjadi tanggungjawab gpk menelusuri murid dan memulih mereka dalam pembaikan KTP. Tunjang pembaikan KTP adalah minda (M) dan persediaan (S) murid. Kejayaan gpk menggarap pembaikan MS ini dapat membantu potensi murid berkembang. Memanglah diakui proses perubahan kesan pembaikan MS sangat mengambil masa. Ada yang mampu memulih dalam tempoh tertentu. 3 bulan, 7 bulan, 11 bulan, 2 tahun, 3 tahun, 4 tahun.(seperti saya, MS saya barulah dapat dicapai semasa tingkatan 4). Sekurang-kurang murid mempunyai kemahuan untuk memulih MS mereka.

Kenapa mesti MS dahulu pulih barulah kemahiran 3m? (A) Memaksa murid belajar adalah satu kesalahan pembelajaran! Namun, (B) memaksa murid belajar adalah satu keperluan yang mustahak kerana satu kesalahan pembelajaran murid tidak pandai-pandai! Penyata A berkaitan persediaan belajar. Penyata B berkaitan minda.

Sangatlah sukar mengajar murid yang tidak bersedia ingin belajar. Namun, menanti murid bersedia belajar tidaklah dapat ditentukan waktunya sedangkan, menentukan matlamat p&p adalah 1 tahun sahaja. Maka, murid perlu dipaksa mindanya untuk menerima pelajaran. Kerana mereka memang perlu belajar. Memang itulah kerjaya murid.

7. Untuk itu, pulihkan minda murid dengan intuitif keseronokan belajar, percepatkan persediaan belajar murid dengan daya tarikan keilmuan. Sehubungan itu, tidak ada yang dapat menetapkan kaedah atau strategi p&p mana lebih unggul. Teori mana yang lebih berkesan untuk diguna pakai. Ingat, gpk harus bersikap realistik. Jika makan nasi itu dapat memulihkan MS murid, ia tidak terlarang. Jika komik Doraemon atau Mutiara Naga itu berkesan apa salahnya. Menetapkan sesuatu kaedah sebagai berkesan adalah tidak tepat. Bahkan, berbahaya. Jangan membunuh MS. Pembunuh MS adalah kebosanan. Jika marah itu adalah kaedah disepakati berfungsi dengan jaya, lakukan sahaja. Permainan dan lagu membuka selera, santapilah.

Percayalah, MS murid yang menjernih dalam rawatan pembaikan KTP pasti mudah menerima 3m. Tanpa dipinta, di mana saja, pasti ‘Sigu,Sigu ajar saya!’. Apa yang dapat kita rasakan sekiranya itu yang keluar daripada mulut seorang murid pemulihan yang tegar? Kenikmatan berganda.

(sumber; http://sknampasan.webs.com)

Latar Belakang Sejarah Sungai Padas dan Sejarah Penduduk Pedalaman Bawah Negeri Sabah


Dalam kawasan Pedalaman Atas dan kawasan Pedalaman Bawah, ada sebatang sungai yang airnya menghilir iaitu dari daerah Tambunan dan melintasi Keningau dan daerah Tenom dan cabang sungai Padas ialah sungai Kepagalan dan seterusnya sampai ke daerah Beaufort. Sungai Padas menghilir melalui kampung Limbawang, Gadong, Suasa, Jabang, Bangkalalak dan Berumbai. Kuala sungai Padas ialah di Kuala Palas, seberang Weston.

Sungai Padas merupakan sebatang sungai yang berubah-ubah menjadi sungai mati (lugan atau sukai). Kesan-kesan sungai mati ada terdapat di Lugan dan Selinsing. Terlalu banyak kesan bekas sungai yang menjadi lugan atau sukai.

Pada zaman dahulu kala, di daerah kecil Padas Damit juga banyak terdapat bekas sungai Padas mati menjadi lugan, iaitu di Sukai Raban, Paya Raja Basa, kawasan kampung Sungai Lama, kampung Bambangan, kampung Malaka dan seterusnya lugan Mezaban. Dan kuala sungai Padas Mati (Lugan) pada zaman dahulu kala pula ialah di kuala sungai Jumpong, Bintuka, Padas Damit, Beaufort.

Memandangkan keadaan sungai Padas pada zaman dahulu iaitu kira-kira 300 tahun yang lalu, sungai Padas yang terdapat di dalam kawasan daerah kecil Padas Damit pada masa itu masih lagi hidup sama seperti masa sekarang ini. Dan pinggir bekas sungai Padas yang melintasi daerah kecil Padas Damit ada juga terdapat tanah-tanah tinggi (bulud) kerana menurut keadaan sungai Padas dari semasa ke semasa selalu dilanda air banjir, kerana kota bandar Beaufort bila hujan lebat turun dari hulu sungai Padas, kota bandar Beaufort telah ditenggelami air maka ia akan dilanda banjir mengakibatkan seluruh Pedalaman Bawah habis ditenggelami air banjir.

Tanah-tanah tinggi yang dinamakan bulud adalah berasal daripada hakisan-hakisan tanah bukit yang dibawa arus air banjir sejak zaman-berzaman. Dan apabila kita dapati ada terdapat bulud dalam kawasan Padas Damit dan lain-lain kawasan itu adalah menunjukkan kesan-kesan bekas sungai Padas mati.

Air banjir besarlah yang membawa tanah bukit dari pedalaman atas. Air banjir besar yang terlalu keruh dan bila air banjir besar telah pun sudah surut, maka semua tanah yang disebut tadi akan tinggal menimbus kawasan-kawasan yang dilalui air banjir besar di mana-mana saja kawasan yang dilimpahi oleh sungai Padas pasti ada terdapat bulud.

(Sumber diambil terus dalam teks asal oleh Allahyarham Tn. Hj. Awaluddin Tugasan)

Aku Sebiji Telur Tiruan


Aku sebiji telur tiruan. Aku dibuat di sebuah kilang yang terletak di negara China. Aku diperbuat daripada kalsium klorida, kalsium karbonat, pati, resin, gelatin, alum dan natrium alginat, asid benzoik, air dan pewarna makanan.

Untuk membuatku, mula-mula bahan kalsium klorida dan pewarna digaul bersama untuk membentuk cecair telur kuning. Kemudian, cecair tersebut dituang ke dalam dua pertiga acuan bulat yang diperbuat daripada polisteren dan dibiarkan kering sedikit.

Setelah itu, telur kuning berserta acuannya direndam dalam cecair parafin wax untuk membentuk selaput luar telur kuning. Proses seterusnya ialah proses membuat cangkerangku menggunakan bahan kimia tertentu. Lapisan luar disaluti lilin parafin, serbuk gypsum dan kalsium karbonat. Proses tersebut berulang-ulang sehingga lapisan luarku terbentuk dan menebal. Akhir sekali, aku dibiarkan kering bagi mengeraskan cangkerangku. Maka wujudlah aku serupa dengan telur asli.

Aku dan kaum kerabatku dipasarkan ke seluruh pelusuk China. Meskipun begitu, aku bertuah kerana terpilih untuk dieksport ke negara Malaysia. Seronoknya.

Walau bagaimanapun, bak kata pepatah ‘hanya jauhari mengenal manikam’. Semasa aku ghairah memperagakan tubuhku di sebuah kedai, seorang pemuda telah mengambilku. Dia membawaku ke pejabat Persatuan Pengguna berhampiran. Beliau mengadu sahabatku yang dibelinya kelmarin tidak berbau dan tidak mempunyai rasa apabila dimasak.

Aku menjalani pemeriksaan. Nazak aku diperlakukan. Mereka mendapati cangkerangku berkilat dan kasar. Apabila tubuhku digoncang, perutku berbunyi kerana terdapat air berlebihan daripada bahan pepejal. Aku diketuk tapi bunyiku tidak serapuh telur asli.

Mereka kemudian memecahkanku, aduh, sakitnya! Sempat aku melihat, putih telur dan kuning telurku bercampur sekelip mata dan cair bersama. Ini kerana kedua-duanya dihasilkan daripada bahan mentah yang sama. Bahkan, aku tidak berbau daging mentah seperti telur asli.

Hayatku di hujung tanduk. Aku dimasukkan ke dalam kuali panas. Kuning telurku mengembang tanpa disentuh. Panas kuali semakin membara. Banyak gelembung udara terhasil ketika aku digoreng. Aku semakin lemah. Lemah. Lemah dan ...


Rujukan:
(1) http://www.anastasyea.com/2011/04/telur-ayam-tiruan-cara-membuat-dan.html
(2) http://www.zulkbo.com/2011/04/telur-tiruan-dari-china-cara-membuat.html
(3) http://billyinfo.blogspot.com/2011/04/cara-membezakan-telur-tiruan-dan-telur.html
(4) http://thepeace08.blogspot.com/2011/04/baru-baru-nitelur-tiruankini-beras.html
(5) http://upsr.net/

Wednesday, April 27, 2011

Sahabatku Masuk Astro Oasis Imam Muda 2011


Kelibat wajahnya tiba-tiba menyidai di kepalaku. Ini semua lintasan Majlis Pelancaran Peserta Imam Muda (IM2) 2011 di Astro Oasis, 9.00 malam bertarikh 18 April 2011. Terperangah juga dibuatnya.

Bagaikan percaya wajah itu adalah milik abadi seorang rakan di kampung asal, aku terus-menerus mendapat lintasan iklan-iklan pengenalan peserta IM2 yang sengaja ingin kuyakini kepercayaan ini.

Ternyata kepercayaanku adalah tulus dan murni. Memang sah wajah dan biodata diri itu milik sahabatku Ali Khairuddin, kini akan mula (patut) gelari Imam Muda Ali Khairuddin bin Hj. Abdul Maarif.


Aku mengenali secara dekat pemuda ini pada 2007. Ketika itu, kami mengikuti Kelas Tahsin Al-Quran Bahagian Pendalaman di Masjid Daerah Pekan Beaufort. Kawasan-kawasan terlibat termasuklah Membakut, Sipitang, Weston dan Beaufort. Tuan Guru kami ketika itu ialah Tn. Hj. Daud Che Man, bekas Qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 1990 dari Terengganu.

Ketika yang sama, aku adalah Bilal (Muazzin) di masjid tersebut. Rakan-rakan peserta lain yang masih kuingat ialah Imam Rambang Hj. Mohammad (kini haji), Imam Abdul Rahman Majamal (Imam Masjid Daerah Pekan Beaufort), Imam Umar Abdul Rahman (dulu di Membakut, kini bertugas sebagai Imam Masjid Ar-Rahmaan, Daerah Ranau). Turut sama sebagai penyelaras ialah Tn. Hj. Saidin (kukenal Ust. Saidin) dan Tn. Hj. Abdul Ghaffar Rijim al-Hafiz (kini digelar Datuk).

Sebenarnya apa yang menyebabkan aku dekat atau terlebih hormat kepada pemuda ini ialah kerana penghormatan, kasih dan minatnya aku terhadap ayah beliau iaitu Tn. Hj. Imam Maarif Ansat. Dalam era 80an dan 90an, Tn.Hj. Imam Maarif merupakan Imam Masjid Daerah Beaufort. Bahkan, sepanjang era tersebut beliau pernah menguntai nama sebagai Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, sebagai wakil negeri Sabah.

Minatnya aku terhadap beliau adalah kerana wibawa beliau sebagai imam, lunak suaranya serta kehalusan bacaan al-Qurannya. Sehingga kini, kuingat aku telah mengambil kaedah bacaan al-Fatihahnya beserta murattal sekali dengan hanya mendengar setiap kali solat Jumaat. Sayang sekali aku tidak pula sempat berguru dengannya.

Aku masih ingat, ketika beliau menjadi Imam Masjid Daerah, bilalnya ialah Tn. Hj. Kastari dan Tn. Hj. Sulaiman (ketika itu belum lagi haji). Tn. Hj. Sulaiman terkenal kerana kemerduan dan kelantangan suara azannya. Bahkan, semasa di Tanah Mekkah al-Mukarramah (seperti yang pernah diceritakan), beliau pernah diberi peluang (maksudnya ditawarkan) untuk mengumandangkan azan di sana. Aku tabik betul dengan beliau. Padahal, orangnya kecil saja.

Kini, warisan Tn. Hj. Imam Maarif turun kepada saudara IM Ali Khairuddin. Aku kira matanya memang saling tak tumpah mata ayahnya. Bahkan, ton suaranya memang sekali dengar sama seperti ayahnya. Itulah sebab, meskipun IM Ali Khairuddin jauh lebih muda daripadaku, hormatku kepadanya sama seperti penghormatanku terhadap ayahnya.

Semoga IM Ali Khairuddin berjaya menempa ilmu dan nama dalam program realiti IM2. Aku ingat satu-satunya rancangan realiti Astro yang berjaya ditempa masuk oleh masyarakat Bisaya Beaufort setelah Akademi Fantasia (Lotter AF tidak termasuk dalam kategori ini), Raja Lawak dan lain-lain tidak berjaya. Kiranya wakil tunggal masuk Astro.

Semoga berjaya, buat sehabis baik, kekalkan wibawa, gaya santai dan paling utama keberanian. Buat IM Ali Khairuddin, moga Allah membantu saudara dan kita semua. Amiin.



Kredit sumber:
(1) http://www.astro.com.my/imammuda/
(2) http://www.facebook.com/home.php#!/imammuda106?sk=wall
(3) http://limbawangcompany.blogspot.com/2011/04/peserta-imam-muda-2011.html

Saya Ke Talian Semula


Salam..

Saya ingat sudah berkalang tanah dengan blog Minda Ajaib. Itu hari saya matikan blog ini atas dasar 'ketidakmasaan'. Tapi hari ini saya teruja untuk menyambung semula hos-hos talian hayat akibat 'keminatan' sahabat saya Tuan George W.S.

"Mari kita buat blog!" Ujar Tuan George.

Apapun, 'kehadhiran' semula blog Minda Ajaib ini sudah tentu ada 'ketaubatan'. Saya tidak ingin memencilkan legar pemikiran dan diksi isu-isu. Saya ingat 'kekerdilan' jalan Minda Ajaib dahulu adalah kerana terlalu taksub kepada novelisme (kononnya). Jadi, kemarau idea bermaksud kontanglah perigi 'penaipan'.

Kali ini, selepas keluar dari 'pendukunan' atau lebih tepat setelah 'sihat' (serba sedikit) dengan otak huyung-hayang, dapat membina tangki isu, tong dram pemikiran. Apa saja yang tampil ke otak, lantas terampil di Minda Ajaib (harapanlah kalau tidak malas. Yang betul sikap malas ni memang penyakit manusia yang betul-betul tiada ubat daripada manusia atau makhluk lain. Memang diri sendiri juga bomohnya).

Ya, saya ke talian semula! Harapannnnn..