Thursday, April 28, 2011

Latar Belakang Sejarah Sungai Padas dan Sejarah Penduduk Pedalaman Bawah Negeri Sabah


Dalam kawasan Pedalaman Atas dan kawasan Pedalaman Bawah, ada sebatang sungai yang airnya menghilir iaitu dari daerah Tambunan dan melintasi Keningau dan daerah Tenom dan cabang sungai Padas ialah sungai Kepagalan dan seterusnya sampai ke daerah Beaufort. Sungai Padas menghilir melalui kampung Limbawang, Gadong, Suasa, Jabang, Bangkalalak dan Berumbai. Kuala sungai Padas ialah di Kuala Palas, seberang Weston.

Sungai Padas merupakan sebatang sungai yang berubah-ubah menjadi sungai mati (lugan atau sukai). Kesan-kesan sungai mati ada terdapat di Lugan dan Selinsing. Terlalu banyak kesan bekas sungai yang menjadi lugan atau sukai.

Pada zaman dahulu kala, di daerah kecil Padas Damit juga banyak terdapat bekas sungai Padas mati menjadi lugan, iaitu di Sukai Raban, Paya Raja Basa, kawasan kampung Sungai Lama, kampung Bambangan, kampung Malaka dan seterusnya lugan Mezaban. Dan kuala sungai Padas Mati (Lugan) pada zaman dahulu kala pula ialah di kuala sungai Jumpong, Bintuka, Padas Damit, Beaufort.

Memandangkan keadaan sungai Padas pada zaman dahulu iaitu kira-kira 300 tahun yang lalu, sungai Padas yang terdapat di dalam kawasan daerah kecil Padas Damit pada masa itu masih lagi hidup sama seperti masa sekarang ini. Dan pinggir bekas sungai Padas yang melintasi daerah kecil Padas Damit ada juga terdapat tanah-tanah tinggi (bulud) kerana menurut keadaan sungai Padas dari semasa ke semasa selalu dilanda air banjir, kerana kota bandar Beaufort bila hujan lebat turun dari hulu sungai Padas, kota bandar Beaufort telah ditenggelami air maka ia akan dilanda banjir mengakibatkan seluruh Pedalaman Bawah habis ditenggelami air banjir.

Tanah-tanah tinggi yang dinamakan bulud adalah berasal daripada hakisan-hakisan tanah bukit yang dibawa arus air banjir sejak zaman-berzaman. Dan apabila kita dapati ada terdapat bulud dalam kawasan Padas Damit dan lain-lain kawasan itu adalah menunjukkan kesan-kesan bekas sungai Padas mati.

Air banjir besarlah yang membawa tanah bukit dari pedalaman atas. Air banjir besar yang terlalu keruh dan bila air banjir besar telah pun sudah surut, maka semua tanah yang disebut tadi akan tinggal menimbus kawasan-kawasan yang dilalui air banjir besar di mana-mana saja kawasan yang dilimpahi oleh sungai Padas pasti ada terdapat bulud.

(Sumber diambil terus dalam teks asal oleh Allahyarham Tn. Hj. Awaluddin Tugasan)

No comments:

Post a Comment