Wednesday, April 27, 2011
Sahabatku Masuk Astro Oasis Imam Muda 2011
Kelibat wajahnya tiba-tiba menyidai di kepalaku. Ini semua lintasan Majlis Pelancaran Peserta Imam Muda (IM2) 2011 di Astro Oasis, 9.00 malam bertarikh 18 April 2011. Terperangah juga dibuatnya.
Bagaikan percaya wajah itu adalah milik abadi seorang rakan di kampung asal, aku terus-menerus mendapat lintasan iklan-iklan pengenalan peserta IM2 yang sengaja ingin kuyakini kepercayaan ini.
Ternyata kepercayaanku adalah tulus dan murni. Memang sah wajah dan biodata diri itu milik sahabatku Ali Khairuddin, kini akan mula (patut) gelari Imam Muda Ali Khairuddin bin Hj. Abdul Maarif.
Aku mengenali secara dekat pemuda ini pada 2007. Ketika itu, kami mengikuti Kelas Tahsin Al-Quran Bahagian Pendalaman di Masjid Daerah Pekan Beaufort. Kawasan-kawasan terlibat termasuklah Membakut, Sipitang, Weston dan Beaufort. Tuan Guru kami ketika itu ialah Tn. Hj. Daud Che Man, bekas Qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 1990 dari Terengganu.
Ketika yang sama, aku adalah Bilal (Muazzin) di masjid tersebut. Rakan-rakan peserta lain yang masih kuingat ialah Imam Rambang Hj. Mohammad (kini haji), Imam Abdul Rahman Majamal (Imam Masjid Daerah Pekan Beaufort), Imam Umar Abdul Rahman (dulu di Membakut, kini bertugas sebagai Imam Masjid Ar-Rahmaan, Daerah Ranau). Turut sama sebagai penyelaras ialah Tn. Hj. Saidin (kukenal Ust. Saidin) dan Tn. Hj. Abdul Ghaffar Rijim al-Hafiz (kini digelar Datuk).
Sebenarnya apa yang menyebabkan aku dekat atau terlebih hormat kepada pemuda ini ialah kerana penghormatan, kasih dan minatnya aku terhadap ayah beliau iaitu Tn. Hj. Imam Maarif Ansat. Dalam era 80an dan 90an, Tn.Hj. Imam Maarif merupakan Imam Masjid Daerah Beaufort. Bahkan, sepanjang era tersebut beliau pernah menguntai nama sebagai Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, sebagai wakil negeri Sabah.
Minatnya aku terhadap beliau adalah kerana wibawa beliau sebagai imam, lunak suaranya serta kehalusan bacaan al-Qurannya. Sehingga kini, kuingat aku telah mengambil kaedah bacaan al-Fatihahnya beserta murattal sekali dengan hanya mendengar setiap kali solat Jumaat. Sayang sekali aku tidak pula sempat berguru dengannya.
Aku masih ingat, ketika beliau menjadi Imam Masjid Daerah, bilalnya ialah Tn. Hj. Kastari dan Tn. Hj. Sulaiman (ketika itu belum lagi haji). Tn. Hj. Sulaiman terkenal kerana kemerduan dan kelantangan suara azannya. Bahkan, semasa di Tanah Mekkah al-Mukarramah (seperti yang pernah diceritakan), beliau pernah diberi peluang (maksudnya ditawarkan) untuk mengumandangkan azan di sana. Aku tabik betul dengan beliau. Padahal, orangnya kecil saja.
Kini, warisan Tn. Hj. Imam Maarif turun kepada saudara IM Ali Khairuddin. Aku kira matanya memang saling tak tumpah mata ayahnya. Bahkan, ton suaranya memang sekali dengar sama seperti ayahnya. Itulah sebab, meskipun IM Ali Khairuddin jauh lebih muda daripadaku, hormatku kepadanya sama seperti penghormatanku terhadap ayahnya.
Semoga IM Ali Khairuddin berjaya menempa ilmu dan nama dalam program realiti IM2. Aku ingat satu-satunya rancangan realiti Astro yang berjaya ditempa masuk oleh masyarakat Bisaya Beaufort setelah Akademi Fantasia (Lotter AF tidak termasuk dalam kategori ini), Raja Lawak dan lain-lain tidak berjaya. Kiranya wakil tunggal masuk Astro.
Semoga berjaya, buat sehabis baik, kekalkan wibawa, gaya santai dan paling utama keberanian. Buat IM Ali Khairuddin, moga Allah membantu saudara dan kita semua. Amiin.
Kredit sumber:
(1) http://www.astro.com.my/imammuda/
(2) http://www.facebook.com/home.php#!/imammuda106?sk=wall
(3) http://limbawangcompany.blogspot.com/2011/04/peserta-imam-muda-2011.html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment