Thursday, April 28, 2011

Aku Sebiji Telur Tiruan


Aku sebiji telur tiruan. Aku dibuat di sebuah kilang yang terletak di negara China. Aku diperbuat daripada kalsium klorida, kalsium karbonat, pati, resin, gelatin, alum dan natrium alginat, asid benzoik, air dan pewarna makanan.

Untuk membuatku, mula-mula bahan kalsium klorida dan pewarna digaul bersama untuk membentuk cecair telur kuning. Kemudian, cecair tersebut dituang ke dalam dua pertiga acuan bulat yang diperbuat daripada polisteren dan dibiarkan kering sedikit.

Setelah itu, telur kuning berserta acuannya direndam dalam cecair parafin wax untuk membentuk selaput luar telur kuning. Proses seterusnya ialah proses membuat cangkerangku menggunakan bahan kimia tertentu. Lapisan luar disaluti lilin parafin, serbuk gypsum dan kalsium karbonat. Proses tersebut berulang-ulang sehingga lapisan luarku terbentuk dan menebal. Akhir sekali, aku dibiarkan kering bagi mengeraskan cangkerangku. Maka wujudlah aku serupa dengan telur asli.

Aku dan kaum kerabatku dipasarkan ke seluruh pelusuk China. Meskipun begitu, aku bertuah kerana terpilih untuk dieksport ke negara Malaysia. Seronoknya.

Walau bagaimanapun, bak kata pepatah ‘hanya jauhari mengenal manikam’. Semasa aku ghairah memperagakan tubuhku di sebuah kedai, seorang pemuda telah mengambilku. Dia membawaku ke pejabat Persatuan Pengguna berhampiran. Beliau mengadu sahabatku yang dibelinya kelmarin tidak berbau dan tidak mempunyai rasa apabila dimasak.

Aku menjalani pemeriksaan. Nazak aku diperlakukan. Mereka mendapati cangkerangku berkilat dan kasar. Apabila tubuhku digoncang, perutku berbunyi kerana terdapat air berlebihan daripada bahan pepejal. Aku diketuk tapi bunyiku tidak serapuh telur asli.

Mereka kemudian memecahkanku, aduh, sakitnya! Sempat aku melihat, putih telur dan kuning telurku bercampur sekelip mata dan cair bersama. Ini kerana kedua-duanya dihasilkan daripada bahan mentah yang sama. Bahkan, aku tidak berbau daging mentah seperti telur asli.

Hayatku di hujung tanduk. Aku dimasukkan ke dalam kuali panas. Kuning telurku mengembang tanpa disentuh. Panas kuali semakin membara. Banyak gelembung udara terhasil ketika aku digoreng. Aku semakin lemah. Lemah. Lemah dan ...


Rujukan:
(1) http://www.anastasyea.com/2011/04/telur-ayam-tiruan-cara-membuat-dan.html
(2) http://www.zulkbo.com/2011/04/telur-tiruan-dari-china-cara-membuat.html
(3) http://billyinfo.blogspot.com/2011/04/cara-membezakan-telur-tiruan-dan-telur.html
(4) http://thepeace08.blogspot.com/2011/04/baru-baru-nitelur-tiruankini-beras.html
(5) http://upsr.net/

No comments:

Post a Comment