Wednesday, May 4, 2011

PERSEPSI YANG MENAKJUBKAN


Isu:
MENJADI orang yang berjaya dalam pelajaran bukanlah suatu yang menyeronokkan. Malah ia adalah suatu beban dalam diri seseorang. Berjaya dalam bidang pendidikan dan keilmuan bererti beban untuk bertanggungjawab terhadap masyarakat semakin bertambah. Adakah benar? Memang benar!

Perhatikan situasi berlawanan ini pula:
Selalu kita dengar “Mana mungkin orang yang tidak bersekolah boleh memajukan masyarakat!” Justifikasi yang hebat dan ada kebenaran. Tetapi adakah ini benar? Insan yang tidak bernasib baik untuk meneruskan persekolahan wajar menafikan. Hakikatnya, semakin kita tidak bersekolah semakin rendah beban membayar yuran dan kurang beban belajar. Tetapi untuk meneruskan kehidupan di dunia ini, beban untuk mengumpul pengalaman pula semakin tinggi! Pengalaman! Benar, pengalaman adalah guru dan ruang pendidikan yang amat bernilai.

Oleh kerana itu, pengalaman itu umpama permata, sijil itu umpama candu. Sijil boleh dibuat-buat, ditiru-tiru. Keputusan peperiksaan dalam sijil boleh ditipu seleweng. Kemudian sijil tersebut boleh dibawa ke mana saja dan dijaja sedangkan belum tentu apa tertera di dalam sijil itu menunjukkan kehebatan pemiliknya. Bahkan, belum tentu ilmu yang pernah dipelajari itu dapat diguna dan diingati seumur hidup kerana tujuan peperiksaan lebih utama berbanding manfaat ilmu dalam kehidupan. Sedangkan pengalaman itu, suatu hakcipta terpelihara. Tidak mudah ditiru, bukan mudah menipu.

Pengalaman adalah apa yang telah dilalui. Baik, buruk, indah, gerhana adalah cabaran tersendiri yang ditempuh, yang telah dikaji dan difikirkan secara mendalam. Segala ranjau dan dugaan hidup digunakan sebaik mungkin, difikirkan kelebihan dan kelemahannya. Kelebihan yang ada dikekalkan dan dipertingkatkan. Sementara kelemahan pula dijadikan tauladan dan ditinggalkan. Pengalaman adalah paksi dan bukti bahawa diri mereka memang benar-benar telah teruji. Sebab itu dikatakan, pengalaman yang disia-siakan umpama membuang harta dan persaudaraan, sedang pengalaman yang dimanfaatkan umpama mengumpul harta dan mengukuh persaudaraan.

Pengalaman bukan apa yang diperkatakan, pengalaman adalah apa yang diamalkan dan dibuktikan. Kata gurindam Raja Ali Haji, banyak bercakap banyak bohongnya. Bercakap tidak membuktikan apa-apa jika tidak diusahakan. Sedangkan, idea yang dicakapkan adalah bukti untuk memulakan usaha. Justeru, mereka yang berpengalaman kurang bercakap, lebih amalnya. Banyak cakapnya, banyak hasilnya. Itulah kehebatan pengalaman yang dimanfaatkan.

Kembali kepada isu:
Keseronokan dalam belajar sebenarnya terletak kepada apa yang diperolehi. Agama, minat, teknik dan usaha adalah gabungan kriteria untuk berjaya dalam pelajaran. Agama mengundang keyakinan bahawa semua ilmu landasannya adalah dari Tuhan. Minat mengundang semangat tidak terbatas terhadap sesuatu ilmu. Teknik mempengaruhi kebolehan menguasai pemahaman dan kecekapan dalam sesuatu ilmu. Usaha pula suatu tabii tidak terkecuali untuk melakukan sesuatu.

Jika kita menghadapi masalah dalam pembelajaran, rujuklah semula keempat-empat kriteria tersebut. Kekurangan salah satu daripada kriteria tersebut ternyata membibit kesukaran dalam proses pembelajaran kita. Untuk itu, perkara paling sukar dalam mencapai kejayaan pembelajaran di sekolah ialah untuk menggabungkan keempat-empat kriteria tersebut. Salah satu cara yang dapat dan biasa dilakukan adalah melalui ‘paksaan’. Proses paksaan ini ada baik dan buruknya. Paksaan berterusan sesuai dengan teknik dan gayanya menghasilkan keputusan luarbiasa. Sedang paksaan yang dipaksakan bakal mengundang kebahayaan mental dan fizikal seseorang. Maka pilihlah paksaan yang bersifat sederhana, berdikit-dikit tetapi berterusan. Insya-Allah membuahkan keupayaan yang diperlukan.

Berbicara tentang beban adalah mengenai tanggungjawab. Pemilik sijil (yang diiktiraf persekolahannya) sebenarnya, aset masyarakat. Mereka ini dilabur dalam institusi persekolahan oleh kedua ibu bapa (Aset Ibu Bapa). Jika dibantu kerajaan melalui biasiswa (Aset kerajaan). Jika oleh individu terbabit (Aset Persendirian). Walau apapun, mereka tetap kepunyaan masyarakat lalu menjadi aset masyarakat. Persoalan di sini ialah sebagai aset masyarakat apakah keuntungan yang diberikan sebagai pulangan kepada pelaburan-pelaburan tersebut? Itu yang dikatakan sebagai beban yang berat.

Lantaran itu, isu pengangguran dan masalah sosial dalam kalangan remaja begitu diperhatikan oleh kerajaan dan masyarakat. Tindakan kerajaan dan masyarakat tidak dapat dipertikaikan mereka mempunyai hak untuk membicarakan hal ini. Beban kerajaan dan masyarakat adalah untuk memajukan negara. Sedang beban para pelajar ialah menjadi generasi yang mengekalkan kemajuan tersebut. Sebagai generasi penerus kemajuan adalah tidak adil sekiranya kita wewenang mengendalakan proses kemajuan sedia ada. Ia umpama meracuni diri sendiri. Sekali lagi beban untuk para pelajar ialah mengenai konsepsi dan persepsi kehendak diri sendiri. Naluri kita tabiinya menyukai yang bagus dan terbaik. Justeru, jika kita menginginkan kebaikan dan kebagusan, kita hendaklah menjadi peneraju ke arah kebaikan dan kebagusan itu. Bagaimana?


Perhatikan situasi ini:

Kisah Benar 1:
Suatu hari, cikgu saya menyuruh saya mencari tukang kebun sekolah kerana tujuan tertentu. Maka saya bergegas ke stor tempat biasa tukang kebun beristirehat. Saya masuk ke dalam stor dengan yakin lalu berteriak “Pak cik, cikgu panggil!” Hati saya bangga kerana saya telah berjaya menyampaikan amanah cikgu saya dan menghormati tukang kebun itu dengan memanggilnya pak cik. Tukang kebun itu memandang saya. Wajahnya mencuka, mungkin marah kerana teriakan saya. Dia berkata “Anak ini agama apa?” Dengan wajah hairan saya menjawab, “Islam pak cik!”. Dia berkata lagi, “Lain kali berilah salam dahulu. Kita orang Islam. Hormatilah pak cik yang lebih tua, jangan berteriak melulu pak cik akan mendengar”. Saya tergamam di sana.


Kisah Benar 2:
Saya menuju ke surau untuk solat berjemaah. Selepas habis solat maghrib berjemaah kami berbual. Kami bertiga. Saya masih belajar di tingkatan 4 ketika itu (tahun 1996), seorang pak cik yang bekerja sebagai tukang kebun (Pak U) dan seorang lagi pak cik bekerja di perpustakaan (Pak K). Sudah dua minggu saya berdamping dengan mereka. Belajar-belajar solat berjemaah. Sambil-sambil berbual kami masuk ke topik bahasa Inggeris. Kata Pak K, “susah mau belajar eh!”. Saya yang mendengar ucapan itu terkejut. Hati saya berkata, “Belajar, sudah tua pun mau belajar?”. Lantas saya bertanya, “Pak K mau belajar apa?”. Pak K senyum, “Pak cik mau ambil peperiksaan SPM!”. Saya terkejut. “Hmm, betul, pak cik pun akan ambil SPM tahun depan!” sahut Pak U pula. Mereka itu sudah agak berumur. Pak K lingkungan 36 tahun, Pak U dalam lingkungan 39 tahun.

“Saya ambil SPM tahun depan juga.” Kata saya.

“Bagus, bagus kita sama-sama belajar!” Wow, betapa terbukanya hati mereka! Saya tidak terkata apa-apa ketika itu. Hanya dapat saya lakukan ialah mendengar perbicaraan mereka.

“BI ini susah. Keras lidahku!” kata Pak K.

“Tiada masalah, yang penting BI ini mau speaking everyday.” Kata Pak U. Sekali lagi saya tersentak. Pak U tukang kebun itu kata BI itu senang. Sedangkan saya sendiri pun langsung tidak faham BI. Keterkejutan saya menjojot apabila langsung Pak U berbicara BI semacam orang yang pernah belajar BI. Walau pun tidak selancar air, tetapi dia berbicara seumpama tiada masalah baginya. Saya menarik nafas dalam-dalam. Takjub. Selang dua tahun kemudian, Pak K dan Pak U lulus dalam SPM mereka. Saya yang sama-sama belajar dengan mereka begitu bertuah memperolehi keputusan agak memberangsangkan.


Kisah Benar 3:
Saya berjaya menjejakkan kaki ke UMS. Meskipun begitu, sebenarnya bukan suatu yang menyenangkan memasuki IPT ini. Masalah kewangan keluarga dan kehidupan menyebabkan fikiran menjalar ke sana ke mari. Syukurlah, kerajaan membantu melalui PTPTN. Semasa mendaftar dan memasuki bilik penginapan saya bertemu dengan tiga rakan dari Sandakan. Seorang Cina (Chia), seorang keturunan Arab (Azman) dan seorang Melayu (Awang). Kami menjadi rakan akrab serta-merta. Jadi, semasa minggu suai mesra kami sentiasa duduk bersama.

Semasa mendaftar untuk aktiviti, kami bertembung dengan seorang pelajar dari Kelantan. Pelajar tersebut asyik mengkritik kelemahan-kelemahan yang wujud ketika itu. Saya akui memang kelemahan itu terlalu ketara. Dan memang saya tidak berasa senang. Cumanya, pada pendapat saya pelajar Kelantan ini terlalu ekstrim, cubalah beradat sedikit, awak tu orang baru. Kata saya dalam hati. Tidak perlulah terlalu banyak komen. Masuk pun pakai PTPTN. Semasa balik ke penginapan, kami berempat berbincang mengenai pelajar Kelantan tersebut. Dalam hati, saya meyakini mereka bertiga pun tidak akan senang dengan perlakuan pelajar Kelantan itu.

“Apa pendapat kau tentang budak itu?” tanya Azman. Mendengar soalan itu, hati saya bersiap sedia dengan jawapan mana tahu saya pula ditanya. Jawapan saya, tidak patutlah budak itu. Tidak beradat. Orang baru jadilah orang baru. Bersyukurlah dengan apa yang ada. Itu jawapan saya. Saya memang yakin mereka pun tidak senang dengan pelajar itu.

“Bagi akulah kan... susah mau cari orang macam itu. Dia berani dan tegas bah dalam mempertahankan haknya.” Jawap Awang.

“Iya tu! Kalau kita di Sandakan dulu, tup meletup bah diorang. Terang-terang bah masalah. Kalau dia tidak cakap siapa lagi. Kelemahan terusss...” sahut Chia pula.

“Hui, bagus, aku pun sependapat. Itulah dikatakan pemimpin. Beraninya itu. Kau, Min macam mana?” kata Azman.

Saya terkesima mendengarnya. Rupanya banyak lagi yang saya perlu pelajari dari orang lain. Saya perlu keluar dari kepompong halaman sendiri. Kita bukan katak di bawa tempurung. Ini ‘U’. Saya hanya mengangguk-angguk pura-pura bersetuju.


(Tulisan ini ditulis pada Mei 2000, Kota Kinabalu)

No comments:

Post a Comment